Monday, March 5, 2012

Orang Melayu Proto

Kumpulan Kaum Orang Asli Melayu-Proto mencakupi rumpun bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala dan Orang Seletar. Pada awalnya mereka tinggal di kawasan pantai, kuala ataupun kawasan-kawasan lembah. Kini mereka telah memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri dan mengecapi kehidupan yang lebih selesa hasil daripada pembangunan yang dibawa oleh pihak Kerajaan.


ORANG KUALA

Istilah ’Orang Kuala’ wujud disebabkan lokasi masyarakat itu sendiri yang kebanyakannya tinggal di kawasan kuala sungai dan persisiran pantai barat Johor. Mereka dipercayai berasal dari kepulauan Riau-Lingga dan kawasan yang berhampiran dengan pantai Sumatera, Indonesia. Lokasi penempatan mereka terdapat di Kuala Rengit, Kuala Senggarang dan Tanjung Segenting dalam daerah Batu Pahat serta juga di Kuala Benut, Kuala Sungai Pontian dan Kukup di daerah Pontian, Johor. Menangkap ikan merupakan salah satu daripada aktiviti ekonomi sara diri mereka. Namun demikian, terdapat juga pada masa kini mereka-mereka yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, pertanian malah bidang-bidang profesional yang lain. Raut wajah dan tingkah laku mereka lebih mirip kepada orang Melayu yang secara tradisinya menjadi jiran turun temurun mereka.


ORANG KANAQ

Orang Kanaq merupakan rumpun bangsa Orang Asli yang paling kecil jumlah populasinya. Penempatan utama mereka adalah di Kampung Sungai Selangi, Mawai, daerah Kota Tinggi, Johor. Mereka dikatakan berasal daripada kepulauan Riau, Indonesia yang melarikan diri akibat dari ancaman tentera Belanda. Bahasa pertuturan mereka seakan orang Melayu dengan lenggok bahasa yang agak kasar.


ORANG SELETAR

Orang Seletar atau ’Sea Gypsies’ pada awalnya merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai yang tinggal dalam rumah perahu, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai. Kawasan utama pertempatan mereka adalah di sekitar pantai selatan Johor dan utara Singapura seperti di Kampung Bakar Batu, Johor Baharu. Secara tradisinya mereka bergantung hidup kepada hasil laut. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup berpindah randah. Walau bagaimanapun, perubahan dalam sosio ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Terdapat mereka yang mengusahakan kedai makanan laut (seafood). Kini mereka tinggal dan menetap di kawasan penempatan yang lebih teratur dan tersusun di persisiran pantai selat Johor.


JAKUN

Rumpun bangsa Jakun atau disebut juga Orang Ulu dikatakan berasal dari Yunan, selatan China. Penempatan utama mereka adalah di kawasan pantai Pahang, Rompin, Pekan dan Johor Utara. Kebanyakan dari mereka masih mengamalkan kepercayaan animisme yang dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka kuat berpegang kepada pantang larang yang diamalkan sejak lama dahulu.


SEMELAI

Rumpun bangsa Semelai menghuni kawasan Pahang Tengah iaitu di Tasik Bera, Sungai Triang, Paya Besar dan Paya Badak hingga melebar ke sempadan Negeri Sembilan iaitu di Sungai Serting, Sungai Lui dan Ulu Muar. Mereka memiliki wajah serta fizikal mirip orang Melayu. Mata pencarian mereka ialah mencari hasil hutan dan juga berladang.


TEMUAN

Temuan merupakan rumpun bangsa keempat besarnya dalam hierarki kaum Orang Asli. Penempatan mereka hampir keseluruhannya terdapat di negeri Selangor (kecuali daerah Kuala Langat), Melaka, Negeri Sembilan, Temerloh, di Pahang dan juga Muar di Johor. Rumpun bangsa Temuan di Negeri Sembilan mengamalkan adat pepatih di mana keistimewaan Batin adalah selaku salah seorang daripada ahli dalam perlantikan Undang.

No comments:

Post a Comment