Video Orang Asli

Loading...

Monday, March 5, 2012

Orang Asli Senoi

Kumpulan Kaum Orang Asli Senoi mendiami kawasan lereng Banjaran Titiwangsa serta juga di sebelah pantai negeri Selangor. Ianya merangkumi kawasan di pedalaman negeri Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Terdapat enam rumpun bangsa yang bernaung di bawah kategori kaum Senoi iaitu Che Wong, Mah Meri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar.


TEMIAR

Penempatan rumpun bangsa Temiar yang teramai adalah di daerah Gua Musang, Kelantan yang menganjur hingga ke sempadan Perak dan Kelantan. Pada peringkat awal, mereka membuat rumah seperti keadaan rumah panjang di mana lokasinya ditentukan oleh Penghulu atau Batin melalui kaedah ’berhalaq’. Kemudian mereka akan mula membina kediaman sendiri setelah sekian lama di rumah panjang tersebut. Mereka menyara kehidupan dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuhan hutan. Kemajuan negara telah merubah cara hidup mereka khususnya dalam bidang ekonomi masa kini, di mana kebanyakannya mengusahakan tanah kebun dan juga bekerja dalam pelbagai sektor yang lain.


SEMAI

Semai merupakan masyarakat yang paling ramai populasinya di kalangan 18 kumpulan etnik Orang Asli. Kebanyakan mereka menetap di sekitar Banjaran Titiwangsa meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Kehidupan ekonomi mereka ialah berburu, mencari rotan serta buah-buahan hutan.


SEMOQ BERI

Penempatan kumpulan etnik Semoq Beri sebahagian besarnya adalah di kawasan pinggir Pahang iaitu di daerah Jerantut, Maran, dan Kuantan, manakala selebihnya di daerah-daerah Hulu Terengganu dan Kemaman, Terengganu. Pada masa lalu, mereka juga menjalani kehidupan ala nomad untuk mencari bahan-bahan makanan. Namun kini, hasil daripada ledakan kemajuan negara mereka turut dilimpahi dengan hasil sumber ekonomi yang dikongsi bersama.


JAH HET

Pusat kependudukan bagi rumpun bangsa Jah Het adalah di sekitar daerah Temerloh dan Jerantut, Pahang. Kawasan tersebut meliputi Kerdau-Paya Paleng, Paya Mengkuang, Kuala Krau-Penderas, Mendoi, Seboi, Pasu, Piau dan Galong, Temerloh. Manakala di daerah Jerantut, Sungai Kiol dan Kekwel (Kol). Pada waktu lalu, mereka menyara kehidupan melalui kegiatan mencari rotan dan damar untuk dijual, di samping berburu, menangkap ikan dan mengusahakan ladang untuk sara diri.


MAH MERI

Mah Meri bermaksud ’Orang Hutan’, manakala dalam istilah, Mah Meri disebut ’bersisik’. Mereka dikatakan berasal dari pulau-pualu di selatan negeri Johor. kumpulan etnik Mah Meri juga dikenali sebagai ’orang laut’ sesuai dengan lokasi penempatan mereka yang berhampiran dengan laut. Justeru, sumber ekonomi utama mereka adalah melalui hasil laut. Mutakhir ini mereka mula memasuki sektor perladangan di samping kegiatan kebudayaan dan seni kraftangan yang menjadi identiti rumpun bangsa tersebut.


CHE WONG

Kumpulan etnik Che wong tinggal di kawasan daerah Raub dan di Sungai Enggang, Lanchang, Temerloh, Pahang. Mereka juga merupakan masyarakat yang suka berpindah randah demi untuk mencari kehidupan yang lebih selesa. Hasil daripada kemajuan negara, kini mereka memiliki perkampungan mereka sendiri yang makmur dan selesa, sebagai asas dalam mewujudkan sebuah perkampungan yang menarik lagi menguntungkan.

No comments:

Post a Comment