Monday, March 5, 2012

Orang asli Negrito

Kumpulan Kaum Orang Asli Negrito terdiri daripada kumpulan etnik Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Mereka mendiami kawasan di sekitar banjaran Titiwangsa yang berpusat kebanyakannya di sebelah utara Semenanjung.


KENSIU

Lokasi penempatan kumpulan etnik Kensiu cuma terdapat di Kampung Lubok Legong, Kedah. Mereka merupakan kumpulan kedua terkecil dari kalangan 18 kumpulan etnik Orang Asli. Satu ketika dulu, orang Kensiu suka berpindah randah untuk mencari bahan-bahan makanan. Kini mereka mengusahakan tanaman getah yang dubangunkan oleh pihak RISDA sebagai sumber ekonomi tetap mereka.


KINTAK

Seperti juga Kensiu, Orang Kintak suka berpindah randah untuk mencari bahan makanan. Mereka mendiami kawasan pinggir daerah Gerik, Hulu Perak. Tumpuan serius yang diberikan oleh pihak Kerajaan terhadap kalangan masyarakat Orang Asli, telah menyebabkan kumpulan etnik Kintak mengubah cara hidup mereka untuk menjadi setanding dan separa dengan rakan-rakan mereka yang lain. Kalangan mereka turut menyertai bidang-bidang pekerjaan yang dulunya dirasakan mustahil seperti perkhidmatan kolar putih dan biru.


LANOH

Masyarakat Lanoh (Lano) dulunya turut dikenali sebagai Sabubn. Namun, kini perkataan Sabubn tidak digunakan lagi oleh sebab-sebab yang kurang jelas. Penempatan mereka bertaburan di sekitar utara negeri Perak terutama di daerah Lenggong. Mereka juga satu ketika dulu suka hidup berpindah randah. Dari sudut linguistik dan budaya, mereka lebih mirip kepada kumpulan etnik Kensiu dan Kintak. Umumnya mereka lebih banyak bertutur dalam dialek bahasa Temiar.


JAHAI

Lokasi penempatan kumpulan etnik Jahai terdapat di Banun, Sungai Tiang dan persisir Empangan Temenggor di Perak. Sementara di Kelantan, mereka bertumpu di Kampung Sungai Rual dan sekitar Jeli, Hulu Kelantan. Pada amnya, rupa paras orang Jahai seakan ada persamaannya dengan orang Habsyi atau Negro di Arika, suku kaum Negrito di Pulau Andaman dan Aeta di Filipina. Rumah mereka berbentuk pisang sesikat, dibina daripada buluh dan beratapkan daun bertam dan tepus.

Keadaan rumah mereka yang serba ringkas itu adalah disebabkan amalan mereka yang suka berpindah randah, terutama apabila berlaku kematian dan bencana selain tujuan untuk mencari keperluan makanan di kawasan baru. Namun demikian, seperti juga masyarakat Orang Asli yang lain, mereka kini sudah memiliki penempatan sendiri dan terbela dari segala sudut kehidupan melalui bantuan-bantuan oleh pihak Kerajaan.


MENDRIQ

Kumpulan etnik Mendriq menghuni di sekitar hulu sungai Kuala Lah, jajahan Gua Musang, Kelantan. Seperti Jahai, ciri fizikal orang Mendriq lebih mirip kepada rupa paras orang Negrito lain di kepulauan Andaman, Filipina dan Selatan Thai. Tubuh mereka kecil tetapi tegap dan sasa. Mereka dikatakan sebagai kaum dari tinggalan zaman paleolitik (zaman batu lama) yang mengunjur dari Semenanjung ke Pasifik. Bahasa suku kaum Mendriq ialah Austraossiatik. Mereka tergolong sebagai penutur kumpulan etnik Mon-Khmer tetapi kini telah banyak menerima kemasukan kosa kata Melayu.


BATEQ

Taman Negara Kuala Tahan, sekitar bahagian hulu Sungai Tembeling, Sungai Kechau, Teluk Gunung di Pahang, Sungai Gala, Sungai Chiku, Sungai Tako, Sungai Lebir dan Sungai Airing di Kelantan serta Sungai Berua, Besut, Terengganu adalah merupakan penempatan utama masyarakat Bateq. Jika dahulu mereka turut mengamalkan amalan berpindah randah, tetapi mutakhir ini mereka memilih untuk menduduki kawasan yang disediakan oleh pihak Kerajaan ke arah kesejahteraan kehidupan mereka.

1 comment:

  1. The Best Online Casino Sites | Lucky Club
    List of the Best Online Casinos in 2020: Best for Slots to Win · Bovada – The UK's #1 Site for Sports Betting · CafĂ© Casino – the best luckyclub.live online casino

    ReplyDelete